"Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat kehinaan di dunia dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang paling keras"
(surah al-Baqarah ayat 85)

Nabi SAW pernah bersabda: "Allah paling murka kepada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan Jahiliah, dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak"
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Tabrani dan Imam Bukhari)

"Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain dari Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita"
(Khalifah Umar al-Khattab)

Sunday, March 1, 2009

Antara Syura dan Demokrasi

Terdapat satu kenyataan yang mengatakan bahawa demokrasi itu merupakan pelaksanaan semasa terhadap sistem syura yang diperkenalkan oleh Islam. Kenyataan seumpama itu perlu ditolak kerana ia merupakan satu penipuan dan pemalsuan. Pada hakikatnya perbezaan antara demokrasi dan syura adalah seperti langit dengan bumi. Antara kedua-dua sistem ini mempunyai perbezaan yang jauh serta jarak yang luas dan dapat dilihat dalam perkara-perkara yang berikut:

1. Syura terbatas kepada perkara-perkara yang tidak ditentukan melalui wahyu, dan tertakluk kepada tiadanya percanggahan dengan al-Quran, hadis dan ijma' serta tidak bercanggah dengan kaedah syariah dan usulnya. Adapun demokrasi bebas melampaui hukum Allah. Suara majoriti boleh menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah seperti zina, perlakuan-perlakuan sumbang, kahwin sesama lelaki. Di samping itu, ia juga mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah seperti berpologami, menikmati sesuatu yang baik dan lain-lain lagi.

2. Anggota majlis syura terdiri daripada orang Islam yang adil, ilmuwan, ahli fikir, pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang-bidang yang berkaitan. Manakala dalam sistem demokrasi pula bercampur aduk antara yang alim dengan yang jahil, antara yang bijaksana dengan yang bodoh, pelakon dan penari serta sesiapa sahaja yang berjaya menarik para pengundi untuk mengundinya. Mereka inilah yang menentukan hala tuju perundangan sama ada menghalalkan atau mengharamkan sesuatu.

3. Dalam sistem syura sesuatu kebenaran itu bukanlah ditentukan oleh suara majoriti, sepertimana firman Allah yang membawa maksud:

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah".
(Surah al-An'am : ayat 116)

Bahkan kebenaran itu ditentukan berasaskan dalil, hujah dengan mengambil kira usul syariah dan kepentingan awam. Sementara penggunaan suara majoriti dalam sistem demokrasi menyelesaikan masalah tanpa mengambil kira hujah-hujah syariah dan bukti-bukti akal.

No comments: