"Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat kehinaan di dunia dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang paling keras"
(surah al-Baqarah ayat 85)

Nabi SAW pernah bersabda: "Allah paling murka kepada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan Jahiliah, dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak"
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Tabrani dan Imam Bukhari)

"Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain dari Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita"
(Khalifah Umar al-Khattab)

Monday, February 2, 2009

Demokrasi dan Sistem Politik Islam

         Asas sistem pemerintahan Barat atau demokrasi adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip revolusi Perancis. Idea demokrasi ini mengandaikan bahawa penglibatan politik semua penduduk merupakan satu-satunya sumber kuasa legislatif. Oleh sebab mustahil untuk melibatkan semua penduduk dalam membuat hukum, undang-undang dan menentukan kesudahan sesuatu, maka lahirlah demokrasi dalam bentuk perwakilan melalui pemilihan wakil rakyat sebagai wakil mereka yang bertanggungjawab menilai urusan mereka dan menuntut hak-hak mereka. Oleh itu, demokrasi berhubung kait dengan sistem kepelbagaian parti politik. Oleh sebab susah untuk memperolehi satu keputusan dalam pendapat dan pemikiran, maka pemerintahan dalam sistem demokrasi sentiasa diserahkan kepada majoriti. Minoriti pula hendaklah tunduk kepada pendapat majoriti. Kebebasan mutlak adalah tunggak demokrasi yang paling penting. Ramai orang yang tidak mengetahui sistem politik Islam terkeliru dengannya dan tidak dapat membezakan antara sistem politik Islam dengan sistem-sistem politik ciptaan manusia yang lain.

         Sistem politik Islam tidak berbeza dengan semuanya itu. Amat tidak salah ungkapan yang selalu diucapkan di pentas-pentas politik dan sesi-sesi ilmiah, iaitu "Sesungguhnya Islam ialah sistem demokrasi". Ketika komunis diterima dengan meluas di dunia suatu ketika dahulu, terdapat segolongan orang yang menyatakan bahawa komunis itu hanyalah wajah baru sistem politik Islam. Mereka yang berpendapat demikian, tidak mengkaji Islam secara ilmiah.

         Bahawa sesungguhnya antara Islam dan demokrasi tiada hubungan dan kaitan langsung. Tidak ada demokrasi dalam Islam. Bagaimana mungkin berlakunya keadaan ini, sedangkan demokrasi itu menjauhkan Allah swt daripada hak menghukum antara manusia, dan dalam masa yang sama ia dicipta atas dasar bahawa rakyat ialah sumber semua kekuasaan, terutamanya kuasa legislatif. Hak membuat hukum dan undang-undang merupakan hak rakyat sepenuhnya. Mereka memiliki kekuasaan yang paling tinggi, memerintah, melarang, menghalal dan mengharamkan sesuatu. Melalui suara majoriti dalam masyarakat Barat umpamanya, diharuskan seks luar tabii, melakukan zina dan menjual arak.

         Manakala hukum dalam Islam adalah hak Allah swt sahaja yang tiada kompromi. Firman Allah swt yang membawa maksud:

         "Hukum itu hanyalah milik Allah sahaja".

                                                                           (Surah al-An'am : ayat 57)

         Begitu juga dengan membuat undang-undang dan perundangan yang merupakan salah satu daripada ciri-ciri rububiyyah dan uluhiyyah-Nya. Firman Allah swt yang bermaksud:

         "Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan bagi mereka sebarang peraturan yang tidak diizinkan oleh Allah".

                                                                           (Suarah al-Syura : ayat 21)

         Yang halal ialah apa yang dihalalkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya dan yang haram ialah apa yang diharamkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya.

         Atas nama kebebasan yang dijamin oleh demokrasi, didirikan tempat-tempat maksiat. Jalan-jalan dan taman-taman awam telah menjadi pentas semua jenis keburukan dan kekejian. Mengikut suatu statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kebangsaan Mangsa-mangsa Jenayah di Amerika bahawa 78 orang wanita di perkosa di Amerika setiap jam, malah dikahwinkan antara lelaki dengan lelaki mengikut agama. Dengan nama agama juga, seorang lelaki mengisytiharkan kekufuran dan ateis serta mencaci Allah dan Rasul-Nya. Demokrasi telah menjadi sinonim dengan skandal-skandal politik, krisis akhlak dan kewangan, malah sinonim dengan kezaliman dan diktator. Di manakah letaknya kebebasan, keadilan, persamaan dan hak-hak manusia ketika beribu-ribu orang Islam di Bosnia dan Herzegovina di bunuh? Apakah yang dilakukan oleh negara-negara besar yang melaung-laungkan demokrasi? Mereka tidak pernah mengundurkan diri daripada sesebuah negara yang mereka kuasai kecuali setelah dirampas kekayaannya dan dimiskinkan penduduknya serta menjadikan kemunduran dan kejahilan menyelubungi setiap pelusok negara itu.

         Sekiranya dikaji dasar-dasar demokrasi dengan teliti, didapati bahawa Islam dan demokrasi tidak mungkin bertemu sama sekali. Amat tidak menghairankan apabila terdapat sebahagian masyarakat yang berjuang dalam sistem politik Islam menuntut supaya dilaksanakan sistem pemerintahan demokrasi. Sebagai contohnya ada yang mengatakan: "Kenapa kita menegaskan dan bertegas bahawa orang yang berjuang untuk Islam menentang demokrasi? Ini merupakan satu fitnah yang besar. Kita merupakan orang yang pertama menyeru dilaksanakan dan dipertahankan demokrasi sehingga mati".