DEMOKRASI telah melahirkan parti-parti politik yang haluannya ke arah mencapai kekuasaan dalam menegakkan sesuatu. Matlamatnya adalah kuasa. Dan, kata ulama-ulama politik, kuasa itu adalah untuk menegakkan agama. Maka, seolah-olah agama itu hanya tegak dengan kekuasaan, seolah-olah agama itu lemah tanpa kuasa.
Saya terfikir alangkah sucinya jiwa rakyat Malaysia tatkala media massa, misalnya, menyiarkan gambar-gambar perlakuan lucah yang kononnya melibatkan seorang tokoh politik, mereka sepakat mencemuh dan menyindir di laman-laman sosial.
Benar, sama seperti pelakunya, menyiarkan perlakuan itu juga adalah tidak bermoral.
Kemudian saya terfikir lagi, bagaimana dengan gambar-gambar perempuan seksi dalam media tersebut, yang tersembul buah dadanya, yang membeliakkan mata-mata lelaki? Bagaimana dengan siaran sistem televisyen berbayar yang juga menyiarkan kemungkaran-kemungkaran? Bagaimana dengan internet yang mudah dicapai bahan lucahnya? Adakah ini halal? Kenapa ini tidak dibantah? Ya, ini akan mengurangkan undi. Inilah politik mereka.
Maaf, saya bukan ingin mengelak dari bercakap tentang kesalahan saya dengan menyatakan orang lain juga melakukan kesalahan yang sama. Tidak. Yang salah, tetaplah salah. Tahi adalah tahi walau disembur perfume paling mahal dari Paris sekalipun.
Maka, kerana ia adalah isu politik, bergemuruhlah suara ulama-ulama politik menentangnya. Dan dalam keadaan lain, kemungkaran-kemungkaran yang lain didiamkan.
Politik. Saya rasa kita lebih mentaati rukun-rukun politik daripada mentaati suruhan-suruhan agama. Jika sesuatu itu memberi laba politik, itulah haluan kita. Kerana, bagi kita, kekuasaan adalah segala-galanya.
Kita sudah hilang pangkal dan hujungnya.
Bahkan politik, tanpa kita sedari, telah menjadi seperti suatu agama baru. Lihatlah bagaimana orang yang seagama boleh bergaduh kerana politik, dan orang yang berbeza agama dan saling memusuhi boleh berpakat kerana politik. Politik mengatasi segalanya. Mereka berkumpul di bawah bendera assabiyyah parti. Mereka saling tolong-menolong dalam perkara baik dan jahat asalkan di bawah bendera yang sama.
Lihatlah bagaimana isu-isu yang melibatkan moral didiamkan hanya kerana ia boleh mengurangkan undi. Bagaimana kita melihat ulama-ulama politik mendekati golongan tak bermoral untuk meraih undi, bukannya menasihati atau memperbetulkan mereka. Bagaimana ulama-ulama politik yang dahulunya tegas menjadi liberal hanya kerana undi golongan sekular. Bagaimana ulama-ulama politik boleh bersekongkol dengan musuh-musuh nyata Islam hanya kerana undi, bukannya untuk menyampaikan agama. Dan mereka mengelabui pemikiran masyarakat awam yang jahil dengan hujah-hujah yang bathil untuk menghalalkan tindakan mereka.
Tugas mereka berdakwah, tetapi mereka tidak sedar mereka telah didakwah secara halus oleh musuh-musuh Islam untuk memusnahkan umat Islam.
Adalah tidak masuk akal kita boleh berpakat dengan golongan kuffar yang jelas menentang Islam untuk menentang sesama Islam yang mungkin hanya fasik dan zalim.
Walau apa tujuannya, mereka lebih mempercayai kekuasaan untuk menegakkan agama, walhal agama itu sudah bersifat kekuasaan. Jika nilai-nilai agama diamalkan dalam diri setiap manusia, akan tegaklah hukum-hukum Allah dengan izin-Nya. Agama itu sudah syumul, kata mereka, tetapi mereka memilih demokrasi untuk menegakkan agama. Sebaliknya demokrasi ini telah memecah-belahkan umat, dan menjadikan kita semua telah diambil kesempatan oleh golongan kuffar.
Tinggalkanlah politik demokrasi, berusahalah mengajak dan menyeru manusia kepada agama, itulah politik dalam Islam. Sibuklah dalam urusan agama, bukan sibuk dalam politik untuk menegakkan agama. Bahkan mereka menganggap ulama-ulama yang tidak memasuki politik itu meninggalkan dunia, sedangkan agama itu adalah panduan dunia akhirat. Bukankah Islam itu syumul?
Mereka menyatakan dalil mengambil demokrasi sebagai tuntutan zaman. Kita harus mengikut agama, bukannya agama harus mengikut kesesuaian zaman, kerana agama itu sesuai untuk semua zaman.
Jika demokrasi itu dibenarkan dalam agama, maka kita semua akan jadi pemuas kehendak-kehendak masyarakat. Jika rakyat mahukan hiburan, maka kita akan menghidangkannya untuk meraih undi. Kita tidak akan dapat mengubah masyarakat, sebaliknya akan diubah oleh masyarakat sedikit demi sedikit.
Demokrasi sebenarnya adalah hukum alam. Yang majoriti akan menang. Jika kita benar-benar memahami hakikat demokrasi, kita tidak perlu memasuki demokrasi untuk melaksanakan agama. Tetapi kita harus meramaikan orang-orang yang kuat pegangan agama, kerana apabila kita ramai kita akan menang. Sekarang umat Islam sudah ramai, tetapi seperti buih. Kenapa? Kerana pegangan dan keimanan kita lemah, kita hanya menjadi buah catur kuffar. Di situlah kita sepatutnya berusaha.
Ulama-ulama politik lebih nampak untuk menolong orang yang dizalimi tetapi tidak menolong orang yang menzalimi. Menolong seorang perompak bukanlah sekadar bermaksud menahan mereka dari melakukan rompakan. Kerana jika itu yang dimaksudkan, mereka akan terus merompak jika kita tidak melihat mereka. Untuk menahan mereka dari melakukan kezaliman adalah mengajak mereka ke arah kebaikan. Itulah dakwah, itulah politik Islam.
Saya umpamakan sifat agama itu seperti cahaya, dan kegelapan itu sebagai kemungkaran. Untuk menghapuskan kegelapan, hidupkanlah api, nescaya cahayanya yang terang-benderang, akan muncul automatik.
Politik dalam Islam bagi saya adalah dakwah atau tabligh, sebagaimana dakwah yang dilakukan gerakan-gerakan Kristian ataupun Yahudi ke atas umat manusia. Tanpa memerintah sesebuah negara pun, mereka telah berjaya mengubah budaya hidup kita menjadi seperti yang mereka mahukan sehingga akhirnya mereka akan menguasai dunia ini seluruhnya. Dan berdakwah itulah kerja nabi Muhammad saw.
Kita yakini Islam itu syumul, dan politik itu ada di dalam Islam. Itu benar. Yang bathilnya kita memaksudkan politik Islam itu antaranya adalah sistem demokrasi berparti yang dianjurkan oleh Barat untuk memecah-belahkan kita, bukannya memperbaiki kita.
Mereka menentang sistem sekular, mereka menyatakan politik tidak boleh dipisahkan daripada agama, sebaliknya merekalah yang memisahkan agama dari kehidupan yang syumul, termasuk politik yang sudah ada dalam agama, iaitu dakwah.
Mungkinkah demokrasi ini adalah salah satu sistem Dajjal yang menipu semua, termasuk menipu ulama-ulama kerana fitnah-fitnah dajjal itu sangat dahsyat dan mengelirukan? Iaitu satu neraka yang diperlihatkan Dajjal sebagai syurga. Kita menyakini perjuangan kita ini benar, walhal kita tertipu oleh Dajjal.